fbpx

LIPAN? APA YANG ANDA PERLU TAHU

Lipan_Hutan_hiking_outdoor

Apabila disebut tentang lipan, pasti ramai yang terbayang-bayang fizikal lipan (yang menakutkan bagi segelintir orang). Sekiranya anda sering memasuki kawasan hutan terutamanya pada musim hujan, pastinya anda ‘berpeluang’ bertemu dengan makhluk misteri ini.

Jom baca sedikit info berkenaan lipan yang mungkin ramai orang tidak tahu sebelum ini.

Lipan_Hutan_hiking_outdoor
                                                                     hi… Rindu saya?

 

PENGENALAN

Dianggarkan terdapat sekitar 8000 jenis lipan yang terdapat di dunia tetapi hanya sekitar 3000 spesis yang telah dikenalpasti atau telah dikaji.

Di Malaysia, spesis lipan yang dikatakan paling berbahaya dikenali sebagai lipan bara dari keluarga besar Scolopendidrae namun lipan ini sangat jarang dijumpai di kawasan yang didiami manusia dan selalunya hanya dijumpai di kawasan hutan hujan tropika. Saiz lipan bara ini boleh mencecah sehingga 30cm panjang.

 

HABITAT

Lipan gemar mendiami kawasan yang lembap serta gelap seperti di bawah batang kayu mati, disebalik rekahan batu serta dibawah timbunan daun mati yang basah. Sekiranya di rumah, lipan kebiasaannya boleh didapati di bilik air dan di bawah sinki kerana ini merupakan habitat kegemarannya.

Lipan amat suka dengan tempat yang berlongok lembab dan basah atau dalam kawasan rekahan batu. Rekahan kayu reput yang jenis gelap lembab dan basah . Atau dibawah dedaun mati yang lembab basah. Bawah batu. Bawah batang kayu yang mana kawasan itu mestilah jenis lembab gelap dan basah. Jadi, awasi di mana anda duduk, pegang dan melangkah kerana anda mungkin memasuki kawasan mereka!

 

CIRI-CIRI FIZIKAL

Lipan tidak mempunyai taring atau penyengat, tetapi mempunyai dua kaki depan yang berbentuk seperti penyepit yang dipanggil Forcipules yang digunakan untuk ‘mencubit’ serta menyuntik bisa ke badan mangsa untuk melumpuhkannya.

Sengatan lipan memang berbisa, namun bisa yang disuntik ke badan mangsa tidak mampu membunuh atau membahayakan nyawa manusia. Dikatakan bahawa sebanyak 1000 kali sengatan lipan diperlukan untuk membunuh seorang lelaki dewasa!

Lipan mempunyai bilangan kaki dalam jumlah yang ganjil. Kebanyakkan spesis lipan tidak mempunyai mata dan mereka hanya bertindak balas kepada bunyi menggunakan sesungut antena. Hanya sebahagian kecil lipan yang dikatakan mempunyai mata namun sekadar mampu membezakan keadaan bercahaya atau tidak.

daun basah-habitat lipan-hiking-outdoor
                                            timbunan daun basah, kawasan kegemaran lipan

Serangan lipan

Lipan hanya akan menyerang sekiranya berasa terancam. Ancaman ini boleh datang dalam bentuk sentuhan yang mengejut pada badannya akibat daripada anda terduduk, tertekan atau terpijaknya.

Lipan kebiasannya aktif dan keluar memburu di waktu malam. Kesan sengatan lipan mirip seperti patukan ular kerana kebiasaannya sengatan lipan meninggalkan 2 bintik halus.

Sekiranya disengat, anda akan terasa sakit, panas serta berdenyut-denyut. Kawasan sengatan itu akan membengkak akibat dari bisa yang disuntik ke dalam kawasan sengatan. Kesakitan mungkin berpanjangan sehingga 42 jam lamanya. Terdapat juga sengatan yang boleh menyebabkan rasa gatal yang melampau.

 

TINDAKAN SELEPAS DISENGAT

  • Tidak perlu menekan/memicit kawasan sengatan lipan kerana ini boleh menyebabkan bisa tersebar ke kawasan lain serta meningkatkan risiko terkena jangkitan kuman. Kawasan yang dipicit itu juga akan bernanah dan lambat sembuh.
  • Cuci kawasan sengatan dengan sabun antibakteria serta dibilas dengan air yang banyak.
  • Sekiranya kawasan sengatan itu menjadi sangat gatal, dapatkan krim steroid seperti Hydrocortisone untuk mengurangkan rasa gatal serta kemerahan.
  • Sekiranya anda tidak mampu menahan kesakitan, dapatkan ubat penahan sakit seperti tablet Diclofenac atau Ibuprofen setelah mendapatkan nasihat dari doktor.
  • Rendamkan kawasan yang disengat di dalam air panas (suhu 35’C – 45’C) bagi mengurangkan bisa sengatan lipan.
  • Dapatkan rawatan doktor dengan kadar segera sekiranya anda mengalami kesan alahan seperti sesak nafas, pening kepala serta sakit dada.

 

 

TIPS MENGELAKKAN SERANGAN LIPAN

  • Sebelum duduk diatas tanah, periksa terlebih dahulu kawasan yang hendak anda duduki dengan menguis menggunakan ranting atau kayu terutamanya sekiranya terdapat timbunan daun.
  • Cari kawasan yang kering dan landai/rata. Kejadian sengatan lipan yang biasa berlaku kepada pendaki adalah apabila seseorang itu berasa terlalu penat dan terus duduk tanpa memastikan dahulu lokasi yang diduduki itu selamat.
  • Sekiranya anda mahu masuk ke dalam hammock atau khemah, pastikan anda memeriksa terlebih dahulu untuk memastikan tiada kehadiran lipan di dalam.
  • Zip khemah anda setiap kali ketika keluar dan masuk khemah.
  • Gantungkan kasut berbanding meletakkannya di atas tanah/lantai hutan. Sekiranya selipar atau kasut anda di atas tanah, pastikan anda memeriksa terlebih dahulu dibawah serta di dalam untuk memastikan lipan tidak bersembunyi disitu.
    Gantungkan juga beg yang anda bawa supaya tidak memberi peluang kepada lipan untuk menyorok dan memasuki beg anda.

 

P/s: Keselamatan tanggungjawab bersama. Cegah sebelum rawat. Pastikan anda menjaga keselamatan diri serta ahli rombongan anda.

Leave a Reply